Demikian gema gempita
semangat merdeka
Kuasa sudah pada kita
Ayuh kita hiasi wajah
bangsa
Dengan jurai-jurai
kilauan permata
Kian jauh menyelusuri
zaman merdeka
Kita jadi semakin
mengerti
Semata-mata kuasa di
tangan bukan petanda bangsa berjaya
Kemiskinan, kedaifan,
kejahilan dan peluang tersia-sia
Mendamparkan bangsa itu
Pada taman asing yang
mereka pertuankan
Yang lain pula menjadi
gelojoh
Oleh runtuhan haloba
segalanya mereka rempoh
Mengganggap diri mereka
panglima belantara
Pada musim kemarau
nurani
Embun serta keringat
merdeka tidak lagi sudi menitis
Melayu tidak belajar
dari sejarah 450 tahun terjajah
Mewarnakan sejarah mereka
Dengan dendang dan hibur
hati bangga
Tentang ceritera dongeng
yang mereka cipta
Yang remeh itu utama
Yang utama itu remeh
Yang kecil dialamkan
Yang alam dihamakan
Melodi ceritera yang
sungguh mengasyikkan
Kata mereka Takkan Melayu Hilang Di Dunia
Sambil menggigit jari
jemari
Mereka pun menjadi kuli
di negaranya sendiri
Lama sudah runtuhnya
Kota Melaka
Kita tidak kembalikan
kota itu dengan papan di Jawa
Pun tidak kita bina tugu
ingatan
Di Prang Besar kita
tiada selera berperang
Dengan tangan-tangan
halus arkitek anak watan
Dengan iringan doa dari
rekahan bibir
Petani di bendang
Nelayan di lautan
Di sini kita bina mercu
tanda bangsa
Suatu gergasi megacity
Suatu jaringan yang
menjangkau seluruh jagat
Suatu taman himpunan
segala bau-bauan jutaan flora
Suatu simbiosis insan
dan alam
Kita namakan sempena
nama bapa putranegara
Putrajaya
Lambang negara bangsa
merdeka
Di mercu ini kita
zahirkan senibudaya bangsa
Dengan segala kelazatan
muzik alam
Serta hidangan dan
hamparan seni taman
Bersih indah
tertib teratur
Adunan tamadun tinggi
Jumlah segala cita-cita
dan harapan
Membongkar segala-gala
yang telah hilang
Dan kita tidak payah
mengambil nyawa sendiri
Untuk menebus maruah itu
Dari sini kita menyusun
langkah dengan yakin
Membina bangsa dengan
cara kita
Bangga dengan apa yang
ada
Menghadapi cabaran
dengan segala ketahanan
Cukup tangkas menangkis
dari menjadi korban kali kedua
Putrajaya
Lambang negara bangsa
merdeka
Putrajaya
Lambang negara bangsa
merdeka
Putrajaya
Lambang negara bangsa
merdeka
Deklamasi puisi oleh :
YANG AMAT BERBAHAGIA TUN
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
MANTAN PERDANA MENTERI
MALAYSIA KE 4
29 Ogos 2001
Sempena Pesta Puisi
Patriotik 2001
Di Taman Putra Perdana,
Putrajaya
No comments:
Post a Comment